Sunday 17 June 2012

Tips Rancang Bajet.

Anda hendak rancang bajet ? Tetapi tidak tahu jumlah sebenar wang yang anda gunakan untuk berbelanja ? Artikel ini boleh membantu anda.


Salah satu sebab kenapa orang gagal melaksanakan bajet yang mereka rancang adalah di sebabkan mereka merancang bajet yang silap.Mereka ingat, mereka hanya berbelanja sekitar RM 700 seminggu. Namun, apabila tiba pada hari perlaksanaan, mereka sentiasa terlebih belanja di sebabkan keadaan bajet yang tidak stabil. Ada sahaja perkara yang memerlukan belanja, tetapi mereka terlepas pandang  dan terpaksa keluarkan wang yang luar dari rekod bajet.


Perkara pertama yang perlu anda lakukan untuk memastikan anda akan berbelanja kurang dari pendapatan yang anda peroleh adalah mengetahui jumlah sebenar wang yang terpaksa anda keluarkan setiap bulan berdasarkan perbelanjaan seharian anda.  Apabila anda tahu keadaan sebenar cara anda berbelanja atau habit anda berbelanja, anda dapat kurangkan yang mana perlu dan seterusnya berjimat.







Pada bulan pertama, anda simpan semua resit pembelian dan dalam masa yang sama anda catat satu diari yang berkisahkan perbelanjaan anda pada setiap hari. Dalam diari itu, anda catat semua perbelanjaan yang anda keluarkan pada setiap hari. Catatkan perkara yang anda beli dan harganya. Catatkan walaupun harganya 20 sen seperti bayaran tempat letak kereta. Walaupun nilainya kecil, anda perlu catat kerana anda boleh kurangkan pembaziran pada perkara yang tidak perlu.


Kemudian anda kenalpasti pula bayaran bil – bil utiliti seperti elektrik, air, broadband, astro dan segala keperluan anda yang lain. Tetapkan jumlah wang yang tetap bagi bayaran bil – bil ini. Katakan anda hanya mampu membayar sekitar RM 400 sebulan untuk bayaran bil, anda perlu pandai mengurangkan yang mana perlu dan yang mana tidak perlu.

Contohnya jika bayaran bil bagi elektrik adalah tinggi, anda cuba lakukan penjimatan selama sebulan. Jika anda dapati harga bil tersebut masih tinggi bermakna memang rumah anda menggunakan elektrik pada kadar kuasa yang tinggi, jadi anda jimatkan pula pada bahagian lain seperti kurangkan langgan siaran astro, tukar talian telefon pada prepaid dan rendahkan langganan kapasiti broadband.

Anda juga boleh bahagikan perbelanjaan dalam diari harian anda kepada barang dapur, utility, hutang wajib bayar seperti rumah dan kereta, hiburan, pakaian, isi rumah dan sebagainya yang anda rasa perlu. Tulis diari anda secara konsisten selama 2 hingga 3 bulan. Pada bulan pertama anda akan nampak secara kasar habit berbelanja anda dan tahu jumlah sebenar yang anda belanjakan.

Anda rancang bajet untuk bulan kedua dan laksanakan bajet anda. Pada bulan kedua anda perlu catat diari lagi untuk menilai sejauh mana anda laksanakan rancangan bajet anda. Hendak berjimat bukannya mudah kerana anda perlu ubah kebiasaan anda membazir kepada tidak membazir. Ketahui cara anda berbelanja, nescaya anda dapat cari cara hendak berjimat.

No comments:

Post a Comment