Jika diajukan soalan kepada masyarakat kita pada hari ini
tentang apakah itu kitar semula? Pasti ramai yang mampu menjawabnya. Bagi
maksud yang lebih tepat, kitar semula ialah proses mengolah semula bahan
buangan untuk menghasilkan barangan yang baru.
Namun jika ditanya kenapakah pentingnya kitar semula? Kemungkinan pelbagai
jawapan yang diterima. Dengan kitar semula, kita dapat mengurangkan bahan
buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan
tenaga, mengurangkan pencemaran dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau
kerana penghasilan barang baru daripada bahan mentah.
Atas kesedaran inilah, banyak kempen berkaitan kitar semula telah dilaksanakan
oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Kitar semula merupakan
komponen utama bagi pengurusan bahan buangan pada zaman moden ini. Kemudian
wujudlah slogan ’3R: Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) &
Recycle (Kitar Semula)’ bagi menekankan betapa pentingnya kitar semula untuk
memastikan alam sekitar kita terpelihara.
Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula termasuklah
aluminium, plastik dan surat khabar. Aluminium merupakan bahan yang boleh
dikitar semula 100%. Menurut fakta, aluminium boleh digunakan semula dalam
tempoh 60 hari selepas dikitar semula. Aluminium ini juga boleh dikitar semula
untuk tujuan yang sama beberapa kali. Begitulah uniknya sifat aluminium. Selain
itu, aluminium yang dikitar semula hanya menggunakan 5% tenaga jika dibandingkan
penghasilan aluminium dengan bahan yang baru. Anda boleh mengitar semula semua
bahan yang diperbuat daripada aluminium, namun mulalah dengan yang mudah dahulu
seperti tin minuman ringan.
Plastik juga merupakan bahan yang penting untuk dikitar semula kerana
penggunaannya meluas di Malaysia. Lebih banyak yang dikitar semula, maka
berkurangan plastik yang terkumpul di tempat pembuangan sampah. Tenaga yang
digunakan untuk menghasilkan plastik daripada kitar semula hanya 2/3 daripada
menghasilkan plastik yang baru.
Bahan buangan daripada kertas juga meluas digunakan di negara ini. Contohnya
seperti surat khabar, majalah dan surat. Mengitar semula bahan yang diperbuat
daripada kertas ini dapat memelihara sumber (pokok), menjimatkan tenaga dan
mengurangkan keluasan kawasan pelupusan sampah.
Sebagai masyarakat yang prihatin, kita boleh mengambil inisiatif dengan
membuang bahan-bahan buangan ini ke dalam tong kitar semula. Terdapat 165
syarikat kitar semula di Malaysia (www.sisa.my). Begitu juga dengan maklumat
mengenai pusat pengumpulan bahan kitar semula di setiap negeri di Malaysia
untuk kemudahan orang ramai.
No comments:
Post a Comment